Seremban: “Jika baba (ayah) masih hidup, pasti dia gembira dengan kejayaan ini kerana sentiasa menekankan aspek pendidikan,” luah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, Maryam Qanitah Rosli, 18.
Maryam yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAPL), di sini, kehilangan bapa ketika berusia lima tahun menyebabkan dia berteduh kasih dengan ibunya, Faridah Abdullah, 46.
Dia mengakui hatinya sayu apabila melihat rakan yang lain berkongsi kejayaan bersama ibu bapa masing-masing sebaik mendapat keputusan ini.
“Namun, saya reda dengan ketentuan Allah dan ayah meninggal dunia akibat demam denggi berdarah. Arwah berpesan kepada ibu supaya menitikberatkan soal pendidikan anak-anak.
“Ibu menjadi penyampai amanat arwah bapa, sekali gus memberi kekuatan untuk saya belajar bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SPM 2016 di sekolah itu, semalam.
Maryam Qanitah antara 28 pelajar SMAPL yang mendapat keputusan 11A dalam peperiksaan terbabit. Keputusan disampaikan Pengetua SMAPL Dr Abd Jalil Ahmad.
Maryam Qanitah yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, dia bercita-cita menjadi pakar sains kerana mahu mengubah nasib keluarganya.
Sumber: Harian Metro, 17 Mac 2017
Leave a Reply